"Abang, lantiklah
isteri abang sebagai penjaga harta anak abang siap-siap...nanti bila abang dah
tiada, isteri abang ini jugalah yang akan jaga dan besarkan anak-anak
abang"
Kalau anda bukan peguam
syarie...bukan hakim syarie...bukan pegawai bicara pusaka...bukan pekerja di
Amanah Raya, anda mesti tidak pernah terpikir akan siapa yang akan menjaga dan
mengurus harta anak-anak anda jika ditakdirkan anda meninggal dunia ketika usia
anak-anak anda masih di bawah 18 tahun.
Atau suami secara spontan
mengatakan isterilah yang akan jaga harta anak-anak anda kerana mereka yang
akan jaga anak-anak anda nanti jika anda pergi dahulu. Jaga anak-anak mungkin
YA, tetapi menjadi penjaga harta bagi anak bawah umur mungkin TIDAK dari sudut
undang-undang syarak.
Sepintas perbualan dengan
seorang ibu tunggal, Puan Imah, yang telah kematian suami kira-kira 10 tahun
lepas. Suaminya seorang guru di sebuah sekolah di Pontian, Johor meninggal
dunia kerana sakit ketika usia anak masih kecil. Tanpa sempat membuat apa-apa
perancangan harta pusaka.
Oleh kerana Puan Imah
seorang yang berkerjaya, biasa dengan urusan-urusan pejabat, puan Imah telah
menguruskan segala urusan harta pusaka arwah suaminya dari permohonan surat
kuasa mentadbir, pembayaran hutang-piutang arwah termasuk hutang kereta, hutang
kredit kad dan hutang rumah sehingga lah pertukaran milik rumah dan kereta
arwah atas nama waris diselesaikannya. Lebih setahun jugalah urusan pusaka itu
baru selesai.
Namun puan Imah agak
terkejut dengan perintah yang dikeluarkan oleh pihak mahkamah yang mengarahkan
harta pusaka yang berhak diterima oleh anak perempuan mereka yang merangkumi
wang simpanan, KWSP, ASB, takaful dan sebagainya dari arwah suami diserahkan kepada
Amanah Raya. Mahkamah tidak memberikan hak penjagaan harta anak tunggalnya yang
ketika itu baru berusia 6 tahun, ke atasnya walaupun Puan Imah merupakan ibu
kandung anak tersebut, yang melahirkan dan membesarkan, sihat akal dan tubuh
badan, serta berkemampuan dari segi fizikal untuk menjaga anaknya tetapi kenapa
mahkamah memutuskan dia tidak berhak menjaga harta pusaka yang sepatutnya
diterima oleh anaknya?
Disebabkan keputusan
mahkamah tersebut, selama 10 tahun ini Puan Imah membesarkan anaknya dengan
duit gajinya. Nasib baik dia bekerja dan duit gajinya cukup-cukup untuk
menampung keperluan asas sara hidup mereka 2 beranak. Walaubagaimanapun ada
masa-masa tertentu pendapatannya juga tidak mencukupi untuk menampung kos
perbelanjaan persekolahan dan perubatan anaknya dan dia perlu juga mengeluarkan
wang anaknya yang dibawah jagaan Amanah Raya.
Jadi Puan Imah perlu
pergi memohon di Amanah Raya yang berada di Johor Bahru untuk dikeluarkan
sedikit dari wang anaknya yang disimpan dan dijaga di syarikat tersebut untuk
menampung kos perbelanjaan anaknya. Dalam 2 minggu biasanya permohonan
diluluskan dan Puan Imah perlu kembali ke Amanah Raya semula untuk mengambil
perbelanjaan yang telah diluluskan tersebut yang mana jarak rumah dan syarikat
tersebut terletak lebih kurang 80km. Nasib baik Puan Imah boleh memandu sendiri
untuk ke Amanah Raya. Jika tidak, jenuh juga hendak menaiki pengangkutan awam
ke Johor Bahru. Begitulah rutinnya saban tahun selama 10 tahun ini dan rutin
ini terpaksa diteruskan sehingga anak itu cukup umur 18 tahun beberapa tahun
lagi.
"Ketahuilah para suami, bahawa isteri tidak mendapat hak penjagaan harta anak-anak bawah umur secara
automatik"
Kenapa isteri tidak
mendapat hak penjagaan harta anak bawah umur secara terus? Merujuk kepada
Enakmen Undang-undang Keluarga Islam, 'Bapa adalah penjaga hakiki yang
pertama dan utama bagi diri dan harta anaknya yang belum dewasa, dan apabila
bapa telah mati, maka hak di sisi undang-undang bagi menjaga anaknya itu adalah
turun kepada datuk lelaki di sebelah bapa (iaitu ayah kepada suami atau ayah
mertua isteri). Jika datuk sudah meninggal, hak penjagaan berpindah kepada wasi
yang dilantik oleh bapa kanak-kanak tadi.'
Jika bapa tidak
meninggalkan wasiat pada waktu kematiannya dan ayahnya juga sudah meninggal,
maka isteri tidak berhak dari sudut undang-undang syarak untuk menjaga harta
anaknya yang masih bawah umur. Maka harta pusaka yang diterima oleh anak akan
diserah kepada Amanah Raya untuk di jaga sehingga anak mencapai umur dewasa.
"Jangan letak anak
bawah umur sebagai penama atau penerima hibah polisi takaful, KWSP, ASB dan
Tabung Haji"
Begitu juga halnya bagi
wang hasil polisi takaful, KWSP, ASB dan sebagainya yang mengamalkan konsep
penamaan. Ramai orang meletakkan penama anak yang masih di bawah umur dengan
anggapan sekiranya berlaku kematian pada si ayah (pemegang
polisi/pencarum/pemilik harta), wang dari sumber tersebut akan dapat kepada
anak untuk merekasurvive nanti. Namun berdasarkan
undang-undang jika penama atau penerima hibah masih di bawah umur kompeten
berkontrak (bawah 18 tahun), wang tersebut akan diserah kepada Amanah Raya
bukannya diserah terus kepada anak yang masih bawah umur ataupun kepada isteri
atau ibu anak tersebut. Boleh rujuk jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam
2013.
Jadi, bagaimana isteri
hendak survive membesarkan anak-anak bila suami tiada nanti?
semua sedia maklum, bahagian isteri dalam faraid suami adalah sebanyak 1/8
berbanding bahagian anak yang mengambil asobah (baki) faraid suami.
Jadi sebagai isteri dan
juga ibu kepada anak-anak, dengan 1/8 bahagian pusaka itulah ditambah dengan
pendapatan isteri (jika ada) digunakan secara berjimat oleh si isteri untuk
menampung perbelanjaan sara hidup anak-anak, perbelanjaan sekolah anak-anak,
perbelanjaan hari raya anak-anak, menampung kos perubatan anak-anak dan
sebagainya. Belum dikira lagi sara hidup isteri itu sendiri lagi. Tidakkah
suami kasihan akan isteri anda yang terus setia mengorbankan diri demi
anak-anak anda bersendirian tanpa suami di sisi? Meletak tepi keinginannya
untuk berhias dan bermewah-mewah demi mengutamakan keperluan anak-anak.
Sehinggakan isteri sendiri tidak merasa 1/8 haknya dari pusaka suaminya.
Oleh itu, suami jangan
alpa, jangan leka dan jangan ambil mudah. Islam telah menggariskan keperluan berwasiat
untuk melantik penjaga harta bagi anak yang masih bawah umur. Rujuk Enakmen
Undang-undang Keluarga Islam yang jelas menyatakan bahawa 'Bapa adalah
sentiasa mempunyai kuasa paling luas untuk membuat melalui wasiat apa-apa
perkiraan yang difikirkannya baik sekali berhubung dengan penjagaan
anak-anaknya yang masih kanak-kanak dan berhubung dengan hal memperlindungi
kepentingan-kepentingan mereka.'
"Suami, lantiklah
isteri sebagai penjaga harta anak-anak dalam wasiat"
Kepada suami, lantiklah
isteri sebagai penjaga harta bagi anak-anak anda agar isteri dan anak-anak anda
tidak terbeban jika ditakdirkan anda pergi dahulu ketika usia anak-anak masih
kecil. Bila suami melantik isteri sebagai penjaga harta anak-anak di dalam
wasiatnya, selepas kematian suami, bahagian pusaka yang diterima oleh anak-anak
akan diserah kepada isteri untuk diguna secara berhemah sebagai pemegang amanah
atau penjaga harta bagi manfaat anak-anak tersebut sehingga cukup umur. Dengan
itu, anak-anak anda membesar dengan hasil titik peluh yang telah anda usahakan
selama hayat anda.
Bukannya tidak percaya
pada datuk tetapi jika datuk juga ditakdirkan pergi dahulu. Pakcik-makcik
kepada anak-anak anda pula, walaupun menerima pusaka anda, tetapi tiada
peruntukan undang-undang yang jelas mengatakan mereka wajib menanggung nafkah
anak-anak anda sehingga mencapai umur dewasa. Bukannya Amanah Raya tidak bagus
dalam menjaga harta anak-anak anda tetapi prosedur dan jarak tempat tinggal
yang menjadi kekangan. Dan akhirnya isteri anda yang merupakan ibu kepada
anak-anak anda juga yang akan berhempas pulas bekerja siang dan malam menampung
nafkah membesarkan anak-anak anda sendirian.
SUMBER: http://pakarpusakaislam.blogspot.my
Dapatkan khidmat nasihat perancangan kewangan dan harta pusaka secara percuma...hubungi 019-323 2121 (Aziz Riadi)
No comments:
Post a Comment